Mahathir Berbohong Dalam Nyata

Adalah satu pembohongan yang nyata jika Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa tidak pernah menahan mana-mana individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa zaman pemerintahannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walhal pada zaman pemerintahan Mahathir paling ramai yang menjadi tahanan ISA.

“Adalah saya tertengok satu video sidang media Dr. Mahathir ini. Sebelah kanan dia Mat Sabu, dia boleh cakap dengan muka selamba saja ‘Pada zaman saya, saya tak pernah lokap sesiapa’.

“Ehh…Mat Sabu sebelah dia pernah ditahan bawah ISA. Sebelah kiri dia Wan Azizah, suami dia pun bawah ISA. Tambah lagi dengan mata lebamnya, yang jadi simbol parti dia sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Mesra Rakyat di Hulu Terengganu.

Terdahulu Najib berkongsi aktiviti malam sebelum tidur akan menonton video youtube untuk mendengar kritikan Mahathir terhadap dirinya.

Melalui tontonan itu beliau boleh menilai kritikan serta serangan pihak musuh terhadapnya.

Dalam ucapan lanjutnya, Najib berkata, turut menjadi mangsa tahanan politik Mahathir pada masa itu adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Namun katanya, Mahathir masih boleh mengatakan Najib yang lebih zalim.

“Siapa yang saya lokap ISA? Tak ada seorang pun sebab dah tak ada ISA. Bila saya jadi perdana menteri saya mansuhkan ISA.

“Masa Ops Lalang beratus orang ditahan termasuk sahabat saya Zahid. Ketua polis pun tahu menteri dalam negeri hari ini pernah ditahan bawah ISA,” katanya.

Tambahnya, beliau boleh membuka segala cerita  Mahathir namun memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Kalau nak saya cerita pengalaman Zahid dalam tahanan ISA saya boleh cerita… Tapi nanti orang kata saya burukkan pemimpin yang tua pula.

“Tak manis, orang dah 93 tahun. (Presiden PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang kata dah 93 tahun baik kita bagi dia rehat. Kita kesian pada dia sebab itu kita suruh dia rehat,” katanya. – 5 Mei 2018.