Rafizi Disiasat Mengikut Akta Antiberita Tidak Benar

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli boleh disiasat mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, polis akan mengambil keterangan Rafizi berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah melalui laman sosial terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia berkaitan isu semasa proses penamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri Rantau bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita akan memanggil Rafizi dan mereka yang terlibat secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melaksanakan undi awal di Pangkalan Unit 7 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU, di Seremban hari ini.

Noor Azam berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik akaun Facebook yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan kepada petugas SPR semasa hari penamaan calon di Dewan Seri Rembau di Rembau, 28 April lepas.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan disytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Rantau pada hari penamaan calon, 28 April lalu, apabila pencabar tunggal beliau, Dr. S.Streram daripada PKR, gagal mengemukakan kertas pencalonannya kerana tidak mempunyai pas SPR untuk memasuki pusat penamaan calon. – Bernama, 5 Mei 2018.