‘Seolah-Olah Hanya PAS Sahaja Islam’

PAS Kelantan secara tidak langsung menimbulkan persepsi seolah-olah hanya parti itu sahaja yang mendokong dasar perjuangan Islam.

Gambaran itu jelas lewat kenyataan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Dr. Johari Mat yang menyebut, oleh itu tidak ada sebab sebuah parti baharu ditubuhkan bagi menggantikan tempatnya (PAS).

Beliau membandingkan perkara itu sebagaimana solat jemaah dalam masjid dengan berkata “Seperti solat berjemaah dalam masjid, orang yang datang kemudian dilarang membuat jemaah baharu pada waktu yang sama.

“Kena join (sertai) jemaah awal itu juga, kecuali jemaah awal itu selesai, baru kita boleh buat jemaah baharu.

“Begitu juga kaedah kita guna dalam masalah ini, maka sepatutnya tidak ada parti baharu yang membawa dasar sama.

“Sebab dah ada dah (PAS) kecuali yang sedia ada ini batal,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Beliau mengulas pertembungan antara calon Pakatan Harapan Nik Omar Nik Abdul Aziz dan  calon PAS Ahmad Fathan Mahmood di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

Kedua-dua calon itu didakwa sama-sama membawa wadah perjuangan Islam, terutama Nik Omar yang disebut-sebut akan meneruskan legasi arwah ayahnya yang juga bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik abdul Aziz Nik Mat.

Mengulas lanjut, Johari tidak menolak realiti sebuah negara berdemokrasi mana-mana pihak boleh menubuhkan sebarang organisasi yang meletakkan dasar seperti PAS.

Namun tegasnya, dalam kaedah sembahyang berjemaah, jemaah yang lama tidak boleh diketepikan.

“Hal ini kalau nak dikaitkan, begitu juga dengan parti. PAS memperjuangkan Islam, sepatutnya tidak ada lagi parti yang buat untuk menyaingi PAS.

“Kalau untuk menyokong tak apa, bukan untuk melemahkan atau memecahkan,” katanya. – 5 Mei 2018.