Mokhzani Tidak Pernah Rasa Susah

Tindakan Tan Sri Mokhzani Mahathir memperlekehkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) disifatkan tidak wajar dan boleh menyinggung perasaan para penerima bantuan tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharom berkata, Mokhzani tidak merasai masalah rakyat yang memerlukan kerana beliau dilahirkan dalam keadaan serba mewah sebagai anak Perdana Menteri.

Malah kata Mohd. Johari, pengaruh bapanya satu ketika dahulu membolehkan Mokhzani mendapat kontrak berbilion-berbilion ringgit sekali gus menyebabkanya angkuh dan sesuka hati menghina kerajaan dan golongan miskin.

“Dia (Mokhzani) perlekeh BR1M sebab orang macam dia memang tidak tahu apa itu bantuan kepada golongan memerlukan. Dia tidak tahu erti susah senang. Lahir-lahir dia sudah menikmati kehidupan yang senang,” katanya ketika ditemui selepas majlis bersama rakyat di Pengkalan Tanjung Rhu di Langkawi.

Mokhzani yang juga anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ceramahnya di Felda Sungai Tiang, Pendang, malam kelmarin memperlekehkan penerima BR1M dengan mengatakan tiada apa perlu dibanggakan mengenai bantuan tersebut.

Ujar jutawan tersebut, meskipun kerajaan gembira kerana mampu membantu rakyat menerusi BR1M, rakyat sebenarnya lupa bahawa bantuan itu juga menunjukkan mereka tidak mampu menyara kehidupan sendiri. – 6 Mei 2018.