Najib Tenggelamkan Gelombang Mahathir

Gelombang Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat tenggelam dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan lawatan di Pulau Langkawi kelmarin.

Najib yang tiba di pulau peranginan tersebut kira-kira pukul 6 petang hadir untuk program ‘walkabout’ Klinik Keusahawanan bersama SME Corporation Malaysia (SME Corp) di Telaga Chenang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Ketibaan Perdana Menteri itu disambut oleh ribuan penduduk yang penuh sesak menanti ketibaan beliau di lokasi program.

Yang turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Orang ramai yang berkumpul sejak pukul 3 petang melaung-laungkan ‘hidup PM’ tanda sokongan tanpa berbelah bahagi terhadap pemimpin kesayangan mereka itu.

Najib turut meluang masa melawat gerai-gerai di tapak program tersebut selain bersalaman dan bergambar dengan orang ramai.

Kedatangan Perdana Menteri itu juga cukup istimewa selepas kali terakhir datang ke Langkawi dengan membawa pelbagai berita gembira melalui peruntukkan untuk pembangunan di pulau peranginan itu pada Febuari lalu.

Sementara itu, Nawawi ketika ditemui berkata, kedatangan Perdana Menteri ke Pulau Langkawi hari ini mendapat sambutan yang cukup hebat meskipun mengadakan lawatan dalam tempoh agak singkat bermula pada sebelah petang.

“Sambutan tersebut melambangkan sokongan padu rakyat di sini terhadap Najib. Mereka sedar Perdana Menteri telah membawa pelbagai pembangunan di pulau peranginan ini,” katanya.

Malah, kehadiran Perdana Menteri pada hari itu juga sekali lagi membawa perkhabaran gembira apabila beliau mengumumkan 18 inisiatif untuk dilaksanakan di pulau peranginan tersebut secara berperingkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Najib berkata, kesemua inisiatif tersebut adalah bertujuan menjadikan Langkawi sebagai pusat pelancongan yang tersohor dalam peta pelancongan dunia menjelang 2030.

Antara inisiatif yang bakal dilaksanakan itu adalah seperti perlaksanaan Pusat Transformasi Bandar (UTC); memperkasakan pelancongan kesihatan, pembinaan sebuah litar Motorcross, pembesaran lapangan terbang; menaik taraf akademi pelancongan dan pakej istimewa perkhidmatan internet berkelajuan tinggi WiFi@unifi Telekom Malaysia (TM).

Selain itu katanya, kerajaan juga memberikan peruntukkan sebanyak RM100 juta yang disediakan kepada SME Bank dalam bentuk pembiayaan daripada RM25,000 sehingga RM250,000 untuk peniaga di pulau berkenaan yang mengusahakan chalet, motel dan kedai runcit dengan kadar pinjaman hanya tiga peratus setahun setelah kerajaan memberi subsidi sebanyak dua peratus.

“Kita juga bakal menyediakan geran sebanyak RM5,000 kepada 1,000 peniaga kecil di pulau peranginan tersebut yang diagihkan oleh persatuan-persatuan perniagaan yang berdaftar bermula 1 Jun depan,” katanya.

Tambah Najib, impak kepada kesemua inisatif tersebut mampu memberi kesan kepada ekosistem pelancongan secara menyeluruh daripada industri perhotelan sehingga kepada pengusaha inap desa, pamandu teksi dan pemandu pelancong.

“Kita hendak pastikan rakyat mendapat rahmat dan manfaat daripada industri pelancongan sekali gus memastikan pendapatan mereka jauh lebih tinggi.

“Kita mahu penduduk Langkawi menikmati gaya hidup jauh lebih hebat pada masa akan datang sekiranya pelancongan terus maju,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau tidak memilih pendekatan mencaci atau mengeluarkan kata kesat seperti seorang pemimpin itu sebaliknya menggunakan pendekatan berhemah selain fokus kepada agenda tranformasi demi masa depan Pulau Langkawi.

“Kerajaan terus komited untuk terus membangunkan Langkawi dan usaha tersebut perlulah mendapat kerjasama daripada rakyat dengan memberi mandat kepada kerajaan BN dalam pilihan raya nanti,” katanya. – 6 Mei 2018.