Pemimpin 80-an Punca Peningkatan Kos Sara Hidup, Rakyat Terbeban

Masalah yang melanda negara termasuk peningkatan kos sara hidup yang membebankan rakyat sehingga hari ini, adalah disebabkan oleh
Perdana Menteri ketika era-80 an.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemimpin tersebut adalah individu yang bertanggungjawab atas permasalahan tersebut, berikutan beliau telah mengubah dasar negara berkebajikan kepada negara korporat.

“Pada zaman British dahulu mereka mengamalkan negara berkebajikan yang sebenarnya diambil dari negara Islam. Pada masa itu belajar percuma, hospital percuma. Ia diikuti pada zaman Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak, ada wakaf, ada sumbangan.

“Lepas itu, pada zaman 80-an, Perdana Menteri waktu itu ubah kepada negara korporat, dimana semua kena bayar. Ketika itu, sekolah kena bayar, hospital kena bayar.

“Perubahan itu menyebabkan kos sara hidup meningkat, harga barang naik, pendapatan rakyat tidak mencukupi membeli barangan dan pelbagai masalah lain,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI), Jejawi Dalam.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, PAS bersedia berkerjasama dengan mana-mana parti termasuk Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekiranya parti terbabit mengikut dasar Islam.

Katanya, PAS akan bertindak sebagai kuasa penentu jika tidak ada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan apabila tidak menang majoriti mudah pada pilihan raya nanti.

Bagaimanapun katanya, PAS masih menaruh harapan menang lebih 112 daripada 160 kerusi secara keseluruhan yang mereka bertanding pada PRU-14 sekali gus membentuk kerajaan sendiri.

“Kita bertanding di semua negeri dengan kira-kira 160 kerusi Parlimen. Kalau kita menang 112 kerusi kita boleh memerintah sendiri dan sekiranya hanya menang 40 sehingga 60 kerusi kita bakal jadi ‘King maker’ yang mana ketika itu semua parti tidak boleh menubuh kerajaan.

“Kita mudah sahaja, siapa ikut dasar Islam dengan parti itulah kita akan membentuk kerajaan campuran sama ada BN atau Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, calon Parlimen Marang itu mengingatkan calon PKR (Pakatan Harapan) Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya berehat dan menghabiskan masa tuanya.

Abdul Hadi berkata, zaman Mahathir sudah lama berlalu dan tidak sesuai Pengerusi PPBM yang dibubarkan sementara itu sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

Beliau turut mengingatkan pengundi Langkawi, jika sayang kepada bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun itu, janganlah memberi undi kepada beliau dalam pilihan raya nanti.

“Bukan Dr. Mahathir tiada jasa dan kebaikkan tetapi masa dia (Dr. Mahathir) sudah lama habis. Kalau kita kesian, jangan pilih dia, biar dia berehat menghabiskan usia tuanya,” katanya. – 6 Mei 2018.