Mencari Paradigma

Aku tidak mengenali mereka, dan mereka pun demikian. Kami tidak pernah kenal antara satu sama lain. Tetapi sama-sama asal dalam satu kapal iaitu di negeri Kelantan Darulnaim.

Pertemuan berlaku secara kebetulan. Ketika sama-sama berhenti rehat di Hentian Rawat dan Rehat (RnR) Gua musang petang semalam. Mereka dari Kuala Lumpur menghala ke kampungnya di Pengkalan Chepa. Manakala aku dari Merapoh untuk pulang ke Kota Bharu selepas selesai tugasan.

Di hentian tersebut kami berada di suatu penjuru yang sama, iaitu penjuru terbaik kepada sang ‘perokok’. Di penjuru itu kami berjemaah membentuk kepulan aroma daripada pelbagai jenama.

Di situ kami bertegur sapa, bercerita ringkas tentang identiti. Empat rakan itu mahu pulang mengundi. Salah seorang daripada mereka tampak lebih mesra, Memulakan cerita dengan bertanya perkembangan tempoh terakhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Kelantan.

Aku tidak tahu sebab aku bukan orang politik. Aku juga pengundi seperti dia. Untuk tidak menghampakan, aku cuba respon berdasarkan suasana beberapa tempat yang sempat dilewati dalam masa empat hari terakhir.

“Sukar diramal. Persediaan atau persiapan pilihan raya kali ini tidak nampak agresif dari semua parti yang bertanding berbanding pilihan raya umum dahulu (PRU13).

“Suasana kali ini lebih malap dan hambar jika untuk ditaksirkan dalam konteks sesuatu pertandingan,” hanya itu yang mampu aku katakan.

Bermula di situ, masa rehat kami sedikit terheret dengan perbualan yang semakin rancak. Bara pun bersambung puting mencemari udara yang telah sedia tercemar.

Rautnya tampak bersemangat. Namun sesekali tuturnya langsung tidak mencerminkan satu keyakinan. Dia seolah-olah masih terumbang-ambing dengan haluan  yang mesti ditentukan esok.

“Saya pengundi Parlimen Pengkalan Chepa bang. Kerja di jabatan kerajaan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun terus terang saya mengaku saya tak sokong kerajaan” paluan lidahnya itu cukup menggetarkan. *Tapi kalau bui (bagi) ke Pakatan Harapan, DAP yang lebih dominan. Serba salah jadi” sedikit getaran pun menurun.

“Hendak bui ke bulan (PAS) pulok (pula)….” Suaranya terhenti seketika sebelum keluhan kecil meluru dari kerongkongnya. ”Sekat (setakat) tok guru (bekas Menteri Besar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) meninggal PAS nampak kucar kacir sehingga berlaku perpecahan” pantas dia menyambung kembali cerita yang tersekat di sebalik keluhan itu.

Aku cuma membisu. Hanya mampu tersenyum, itupun adakalanya terpaksa buat-buat senyum. Dia tidak jenuh menyambung cerita biarpun waktu semakin cemburu untuk perjalanan yang masih jauh.

Kali ini agak lebih terbuka dan lebih keras “Lagi pun bang, kerajaan PAS Kelantan banyak menipu” hati tiba-tiba bagai ditusuk sembilu “selama 28 tahun memerintah dia (kerajaan PAS Kelantan) hanya duk tipu rakyat dengan janji tapi tak buat pun” tiba-tiba masa yang cemburu terus lenyap. Ada desakan untuk menghalusi maknanya.

Sejarah penipuan 28 tahun mula dibangkit satu persatu. Janji bantuan RM100 kepada setiap warga emas, hudud, akan menurunkan semua cukai dan lesen perniagaan, bayaran letak kereta serta banyak lagi semuanya retorik semata-mata kerana sampai sekarang semua itu tidak dilaksanakan.

“Abang bermastautin di Kelantan. Mungkin abang yang lebih tahu situasinya” kali ini bola matanya lebih fokus seolah-olah mengerti adanya desakan dalam diri aku tadi. “Kalau abang ingat, itu janji awal dia. Masuk PRU13 janji lagi” bibirnya bergetar “mana stadium tertutup wanita, masjid dan rumah kos rendah di tapak pembangunan projek Lembah Sireh?”

“Mana lot rumah untuk semua penduduk, stadium bermasjid di Bukit Merbau Pasir Puteh dan lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai. Banyak lagi bang, kalau hendak dihitung satu persatu” Aduh….tuturnya itu sesekali meluluhkan jantung kerdil ini. Jauh dari sudut hati pula betapa pekanya naluri anak jati Kelantan ini walapun menetap di luar.

Sebelum bersurai, dengan lembah gemalai iramanya sempat lagi dia melirikkan kata “Kalau dikira campur tolak kali bahagi rasanya nak tengok juga Kelantan berubah, mungkin kali ini BN (Barisan Nasional) yang lebih berkemampuan” suaranya mati di situ, tiba-tiba sahaja menghulur tangan dan berjabat salam “saya minta diri dulu, selamat mengundi bang” sambil mengukir senyum lebar lantas pula dia mempamit pergi.

Selang kemudian aku menyusul jejaknya untuk pulang ke destinasi. Sepanjang laluan Gua Musang ke Kota Bharu trafik agak sesak. Barangkali hampir semua perantau sudah pun pulang (untuk mengundi).

Sambil melayan hiruk pikuk deru enjin sepanjang perjalanan aku hanya mahu tenang dan damai. Segala perbualan dengan rakan yang tidak dikenali tadi pun aku tidak mahu jadikan catatan penting kerana pilihan aku adalah di tangan aku. Rahsia.

Tetapi, sekurang-kurangnya pertemuan itu menyaksikan petanda gelombang BN telah mewarnai Kelantan. Tinggal lagi sejauh mana sentuhan keramat mampu BN lakukan lewat minit terakhir yang hanya  berbaki beberapa jam sahaja lagi.

Sesetengah pemerhati politik meramalkan tawaran 100 hari pertama bakal menjadi antara senjata BN untuk merampas Kelantan pada PRU14 ini kerana keseluruhan tawaran itu berkait rapat dengan kehidupan rakyat.

Memetik kembali kenyataan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, antara perkara yang akan diberi keutamaan dalam tempoh itu ialah mengurangkan kadar premium dan cukai tanah selain menjanjikan perkhidmatan kerajaan yang cekap dan berkesan.

BN Kelantan juga berjanji untuk menubuhkan Jawatankuasa Hibbah dan menghapuskan tunggakan cukai pintu yang membelanggu rakyat selama ini akibat bebanan hidup.

“Kita juga berjanji akan menghapuskan cukai kepala bakul, mempermudahkan prosedur permohonan lesen kepada peniaga kecil dan mengkaji semula kadar bayaran tempat letak kereta.

“Ini janji kita sekiranya rakyat memberi mandat kepada BN untuk memerintah Kelantan pada PRU-14,” kata Mustapa.

Walau apapun, bukan mudah untuk meramal sesuatu pilihan raya. Ia adalah hak rakyat. Parti yang bertanding ibarat untung sabuk timbul, untung batu tenggelam.

Selamat mengundi.