Cuti Umum Hari Ini Dan Esok

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa mengumumkan cuti umum pada 10  dan 11 Mei selain 13 Mei bagi negeri-negeri yang menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan.

Perkara tersebut diumumkan selepas Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta Ali mengumumkan perkara itu.

Tidak sampai 10 minit selepas itu, Ali berkongsi kenyataan media di Twitter.

“Adalah dimaklumkan kerajaan menetapkan hari Khamis dan Jumaat, 10 dan 11 Mei 2018 ialah hari kelepasan am tambahan seluruh negara sempena pilihan raya umum (PRU) ke-14,” kata kenyataan itu.

HARAPAN sebelum ini berjanji akan memberikan cuti umum pada tarikh berkenaan sekiranya menang berjaya mengambil alih kerajaan.

Terdahulu, keputusan menunjukkan HARAPAN mencipta sejarah apabila berjaya memenangi PRU ke-14 dengan majoriti mudah. – 10 Mei 2018.