Tun M Angkat Sumpah PM Hari Ini?

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia ke-7 hari ini.

Perkara itu diumumkan dalam sidang media di Hotel Sheraton, Petaling Jaya awal pagi tadi selepas kiraan menunjukkan gabungan parti itu memperoleh kerusi parlimen yang cukup untuk menang majoriti mudah.

Dr. Mahathir turut memaklumkan bahawa pihak istana juga telah memanggil pemimpin PKR.

Beliau juga memaklumkan, telah meminta ketua setiausaha negara (KSU) Tan Sri Ali Hamsa untuk mengumumkan hari Khamis dan Jumaat sebagai cuti umum seperti dijanjikan sebelum ini.

Susulan itu, Ali melalui kenyataan twitter mengumumkan cuti umum pada 10 dan 11 Mei serta 13 Mei bagi negeri-negeri yang menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai hari kelepasan mingguan.

Ini bererti, buat pertama kali dalam sejarah, pertukaran kerajaan persekutuan terjadi di Malaysia selepas 60 tahun BN memerintah. – 10 Mei 2018.