Jangan Dendam, Negara Ini Ada Hukum – Anwar

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu melalui proses sewajarnya mengikut undang-undang.

“Walaupun saya percaya ada cukup alasan untuk mendakwa Datuk Seri Najib, tapi adakah saya boleh arah untuk dakwa dia? Tidak. Dia mesti ikut proses, dapatkan kes prima facie yang cukup kuat sebelum dakwa.

“Boleh kita atur hukum hakim? Tak boleh. Kena melalui proses itu,” katanya kepada kira-kira 500 penyokong yang menghadiri majlis berbuka puasa di kediamannya malam tadi.

Beliau turut mengingatkan penyokongnya agar sentiasa bersyukur ke hadrat Allah SWT dan tidak menyimpan dendam terhadap mana-mana individu sempena bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini.

“Jangan jadikan kemenangan kita ini menghilangkan rasa syukur kepada Allah. Kalau kita syukur kita ikut perintah Allah.

“Ini kita syukur kepada Allah tapi kita cakap kita bantai dia (Najib), tangkap dia. Ini tak kena sebab itu namanya dendam,” katanya.

Kenyataan Anwar itu dilihat merujuk kepada tindakan polis yang melancarkan serbuan ke rumah Najib sejak kelmarin dan dipercayai masih berterusan sehingga kini.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR Nurul Izzah yang juga anak kepada Anwar mengutuk tindakan tersebut dengan menyamakan pengalaman ketika bapanya ditangkap.

Anwar berkata, beliau telah menyuarakan mengenai keperluan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya beritahu kepada Tun M (Dr. Mahathir), dia kata pergi cari dokumen dan sebagainya. Saya setuju tapi kena ikut proses.

“Marah kita, benci kita jangan menyebabkan kita tinggal landasan hukum. Negara ini ada hukum dan kita berjuang untuk tegakkan negara hukum, bukan hukum rimba,” katanya.

Mahathir menafikan campur tangan terhadap urusan polis dan mengatakan serbuan itu dibuat berdasarkan prosedur operasi standard.

Malah katanya, tidak pernah berniat untuk ‘menyeksa’ sesiapa dan mahu setiap individu dilayan dengan baik. – 18 Mei 2018.