Nik Omar ‘disingkir’ dari masjid Tok Guru

Nik Omar Nik Abdul Aziz tidak dibenarkan menyampaikan kuliah seperti biasa di Masjid Pulau Melaka atau lebih dikenali sebagai Masjid Tok Guru.

Tanggungjawab yang diamanahkan sejak peninggalan ayahnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu digantikan oleh adiknya Nik Mohamad Abduh.

Nik Omar berkata, sejak bapanya meninggal dunia pengisian program di masjid berkenaan dibahagi-bahagikan sesama anak bekas menteri besar Kelantan itu.

Beliau diberikan tugas memberikan kuliah Maghrib pada malam Khamis dan Rabu, serta kuliah subuh pada Jumaat.

Namu, Subuh pagi tadi katanya, tiba-tiba Nik Abduh menjadi imam dan mengambil tempatnya menyampaikan kuliah.

“Lepas tu dia bersalam, cuma ambo (saya) kata, tak apa ke bersalam ni? Tak najis ke ambo ni?” katanya disambut ketawa orang ramai yang mendengar kuliahnya di Wisma Tok Guru di Kota Bharu.

Tambah Nik Omar, adiknya itu memberiahu bahawa beliau tidak lagi dibenarkan menjadi imam atau memberi kuliah di masjid berkenaan seperti sebelum ini.

“Dia (Nik Abduh) kata, ia keputusan keluarga,” katanya sambil menyifatkan ia adalah harga yang terpaksa dibayar kerana menyertai Pakatan Harapan. – 18 Mei 2018.