Polis Rampas 72 Beg Barangan Kemas, Wang Tunai

Sebanyak 72 beg berisi barangan kemas dirampas dari kondominium mewah yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pavillion Residence, Kuala Lumpur.

Difahamkan, turut terkandung di dalam beg tersebut adalah wang tunai pelbagai mata wang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, pihak penguasa itu juga merampas sebanyak 284 kotak yang mengandungi beg tangan mewah pelbagai jenama.

“Ini adalah hasil carian dari satu daripada enam premis.

“Jumlah barangan yang kita rampas 72 (beg) yang mengandungi wang tunai pelbagai mata wang dan juga barangan kemas,” katanya dalam sidang akhbar lewat malam tadi.

Rampasan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung skandal 1MDB.

Beliau berkata, pihak polis belum membuat pengiraan terperinci berhubung barangan yang dirampas.

“Kami telah merampas beg berkenaan, kami tahu ia mengandungi wang tunai dan barang kemas.

“Secara tepat berapa banyak wang tunai saya tidak boleh katakan atau berapa banyak barang kemas. Tetapi jumlah barangan kemas agak besar,” katanya.

Sementara itu,beliau memberitahu, pihak polis masih gagal memecahkan peti besi keselamatan yang dikatakan terkunci selama 20 tahun. – 18 Mei 2018.