Najib mungkin ditahan Selasa ini?

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diminta hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa ini.

Difahamkan, notis untuk Najib berbuat demikian telah diserahkan semalam.

Menurut sumber, ia adalah bagi membantu siasatan berkaitan skandal penyelewengan dalam SRC International Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu Utusan Online melaporkan, tinjauannya di kediaman Najib
di Jalan Langgak Duta mendapati dua kereta berwarna perak tanpa logo SPRM memasuki kediaman terbabit pada pukul 3.50 petang.

Kereta itu membawa lapan orang yang mengaku dari suruhanjaya tersebut berada dalam kediaman tersebut kira-kira sejam setengah sebelum beredar pada pukul 5.41 petang. – 19 Mei 2018.