Nik Abduh sahkan keluarga sekat Nik Omar jadi imam, tenaga kuliah Masjid Tok Guru

Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengesahkan dakwaan abangnya Nik Omar dilarang menjadi imam dan menyampaikan kuliah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Katanya, larangan itu bagaimanapun hanya bersifat sementara sehingga ia mendapat restu ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak.

“Saya sahkan pengakuan kakanda saya, al-Fadhil Ustaz Nik Omar bahawa beliau disekat daripada menjadi imam solat lima waktu dan menjadi tenaga kuliah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

“Ia adalah sekatan bersifat sementara, iaitu sehinggalah al-Fadhil Ustaz Nik Omar mendapat restu bondanya,” katanya menerusi status akaun Facebook.

Nik Abduh berkata, keputusan itu dibuat secara bersama dalam mesyuarat keluarga mereka sebelum Ramadan.

Menurutnya, sekatan tersebut bukan bermakna terputusnya hubungan silaturahim, malah keluarga mereka meneruskan tradisi biasa iaitu berkumpul setiap kali hujung minggu untuk makan malam bersama Tuan Sabariah.

“Kami adik beradik sentiasa mendoakan ‘al rusyd’ untuk beliau. Kami kenal beliau sebagaimana beliau kenal kami berbanding orang lain. Apatah lagi bonda kami sendiri.

“Dalam sebuah masyarakat yang bebas, isu ini mungkin kecil. Tetapi dalam keluarga kami yang telah diasuh dengan didikan agama oleh datuk dan ayahanda kami, mentaati bonda adalah agama sepenuhnya.

“Restu seorang ibu adalah lebih besar daripada restu lima atau 10 juta rakyat Malaysia. Ibu takkan tewas di sisi Allah. Ibu adalah hujah Allah di muka bumi ke atas anak-anak,” katanya. – 19 Mei 2018.