Peti besi di kediaman Najib akhirnya berjaya dibuka

Sejumlah wang tunai dipercayai ditemukan di dalam peti besi di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta.

Peti besi yang didakwa tidak pernah dibuka sejak 20 tahun itu kerana kehilangan kunci berjaya dibuka pukul 6 petang semalam.

Sinar Harian melaporkan, dua tukang kunci ditugaskan untuk membuka peti besi yang berada di tingkat satu kediaman Ahli Parlimen Pekan itu di Taman Duta.

“Tugasan membuka peti berkenaan telah selesai dan peti besi itu mengandungi sejumlah wang tunai,” sumber memberitahu Sinar Harian.

Bagaimanapun jumlah wang tunai di dalam peti itu masih belum dapat dipastikan.

Difahamkan, lapan lagi peti besi yang belum dibuka di Seri Perdana, Putrajaya. – 19 Mei 2018.