BN “bodoh” kerana menafikan realiti

Barisan Nasional (BN) “bodoh” kerana menafikan realiti sehingga menyebabkan parti itu tersungkur di tangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lepas.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata, kekalahan mereka (BN) baru-baru ini bukan kerana isu persepsi, tetapi realiti.

Katanya, BN menafikan isu 1MDB yang menjadi antara topik utama dalam kempen PH.

“Kita kata tak ada, sudah dijawab. Kita menipu diri sendiri sampai hari terakhir,” katanya dalam temu bual disiarkan akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Khairy ditanya sama ada kekalahan BN berpunca daripada kegagalan parti tersebut menguruskan persepsi.

Beliau berkata, BN tidak boleh lagi bercakap mengenai persepsi kerana sebelum tercetusnya sesuatu isu, ia bermula kerana adanya realiti.

“Persepsi itu dibentuk oleh realiti. Realiti sudah ada. Cuma kita bodoh kerana menafikannya selama ini,” katanya.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mencatat sejarah ngeri kerajaan BN apabila buat kali pertama mereka tewas teruk sehingga gagal membentuk kerajaan.

BN hanya mampu membentuk kerajaan di dua negeri iaitu Perlis dan Pahang melalui majoriti mudah.

Khairy berkata, UMNO perlu melakukan perubahan besar-besaran untuk membolehkan ia kekal relevan kepada rakyat.

Tegasnya, kekalahan mereka pada pilihan raya umum lepas itu bukan sahaja kerana penolakan masyarakat kepada pemimpin malah terhadap parti itu sendiri.

“UMNO perlu mengakui mereka gagal membaca kehendak rakyat di sebalik amalan budaya feudal, hidup mewah, angkuh, sombong serta tidak berani bersuara terhadap pemimpin sehingga akhirnya parti melakukan kesilapan yang besar.

“Walak itu, walaklah, tetapi dalam keadaan kami semua tidak dapat membaca sentimen sebenar rakyat. Itu kita kena mengaku,” katanya. – 20 Mei 2018.