UMNO perlu perubahan drastik untuk bangkit semula

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah berlalu kira-kira 11 hari dengan menyaksikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal mempertahankan legasi kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 60 tahun lalu.

Majoriti rakyat hampir meranapkan BN dalam sekelip mata menerusi undi
mereka untuk menyerahkan mandat kepada Pakatan Harapan menerajui
kerajaan pusat bagi penggal ini. Dalam pilihan raya tersebut BN hanya
mampu membentuk kerajaan melalui majoriti mudah di dua negeri iaitu
Pahang dan Perlis.

Di sebalik runtuhan itu, tidak wajar jika ada pihak yang mahu menuding
jari untuk menyalahkan sesiapa meskipun perkembangan tersebut langsung
mengheret perhatian yang sudah semestinya tertumpu kepada UMNO kerana
ia adalah tonggak kepada BN.

Paling menarik, adanya persoalan mengenai masa hadapan roh keramat
parti Melayu itu berupaya bangkit kembali atau terus terkubur begitu
sahaja berikutan transformasi ngeri PRU14 itu.

Ada yang berkeyakinan runtuhan itu masih boleh dibangunkan semula
dengan melakukan perubahan drastik melalui penyusunan semula
kepemimpinan UMNO.

Maksudnya, keseluruhan jawatan dalam parti termasuklah presiden dan
timbalan presiden perlu dipertandingkan bagi memastikan nakhoda yang
akan mengemudi bahtera UMNO (selepas ini) benar-benar mendapat mandat
daripada ahli.

Soal memilih jawatan utama parti bukan perkara remeh yang boleh dibuat
main-main kerana ia mempunyai hubung kait dengan kelangsungan UMNO
sebagai sebuah parti utama orang Melayu negara ini.

Malah, UMNO pastinya akan menjadi sebuah parti yang lebih segar,
berinovasi dan berdinamik jika proses tersebut dapat dilakukan dengan
telus serta beramanah.

Sebagaimana kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, jawatan tertinggi
parti itu mesti dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Beliau berkata, budaya (jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan)
perlu dihentikan kerana ia dilihat antara penyebab masyarakat hilang
kepercayaan terhadap UMNO, selain punca kekalahan pada pilihan raya
umum lepas.

“Saya fikir perlu hentikan perkara tidak munasabah ini bagi (jawatan
tertinggi) tidak dipertandingkan… ia seolah-olah kita tidak membuka
ruang demokrasi kepada ahli-ahli kita.

“Kita tidak perlu ada lagi peraturan ‘tidak dipertandingkan’ dalam
UMNO,” katanya.

Tegasnya, kegagalan mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu
hanya akan menambah persepsi buruk rakyat kepada UMNO.

“Tidak, kita tidak boleh ada peraturan itu (menang tanpa bertanding)
lagi dalam UMNO.

“Cadangan berkenaan menghantar isyarat buruk kepada orang ramai,”
katanya.

Pendapat sama turut dipersetujui Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan Datuk
Seri Bung Mokhtar Radin yang mahu jawatan tertinggi dipertandingkan
secara terbuka.

“Saya fikir UMNO patut berubah kerana setiap orang di peringkat akar
umbi sudah berubah. Jadi kenapa kita patut halang orang lain untuk
bertanding bagi mana-mana jawatan. Saya fikir ini adalah masa untuk
UMNO berubah. Beri ruang kepada setiap orang yang mahu menawarkan diri
untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Pemilihan UMNO yang ditangguhkan sebelum ini akan diadakan selewat-
lewatnya pada 19 April 2019.

UMNO sememangnya mempunyai pemimpin-pemimpin yang berwibawa sama ada di
peringkat Majlis Tertinggi, bahagian dan cawangan termasuk Wanita,
Pemuda dan Puteri untuk diketengahkan.

Pun demikian, adalah wajar untuk disedari bahawa UMNO sekarang bukan seperti 60 tahun yang lalu. UMNO sekarang telah menjadi suara pembangkang, bukan lagi suara kerajaan sekurang-kurangnya untuk lima tahun akan datang.

Jadi, usaha untuk merampas semula kemenangan pada pilihan raya umum
akan datang bukan mudah. Bahkan, mungkin sukar dan getir sekiranya masih mengamalkan budaya silam.