Anwar menghadap Sultan Johor

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Pelangi di Johor Bahru malam tadi.

Pertemuan tersebut turut dikongsikan oleh laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Anwar tiba di perkarangan istana berkenaan kira-kira jam 10.50 malam dan pertemuan berlangsung selama lebih dua jam.

Difahamkan, pelbagai perkara yang dibincangkan menerusi pertemuan itu namun ia tidak didedahkan.

Beberapa keping gambar yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim itu menyaksikan anak Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah turut hadir dalam pertemuan tersebut.

Anwar diberikan pengampunan penuh oleh Yang diPertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah berhubung kes liwat. – 22 Mei 2018.