Dua peguam Najib tarik diri

Peguam Datuk Harpal Singh Grewal dan M. Athimulan menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Harpal mengesahkan perkara itu selepas Najib mengambil keputusan menggunakan khidmat bekas Peguamcara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan enam lagi rakan guamnya.

“Kami tidak dipecat, tapi kami menarik diri selepas perbincangan pada malam ini,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Najib diarah hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes SRC International Sdn. Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata, SPRM telah menyerahkan notis berkenaan untuk Najib berbuat demikian.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012. – 22 Mei 2018.