PM bubar lima agensi kerajaan, umum potong gaji jemaah menteri 10 peratus

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pembubaran lima agensi dan jawatankuasa kerajaan.

Agensi terbabit adalah, Majlis Profesor Negara (MPN), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Beliau membuat pengumuman itu semasa sidang akhbar berikutan mesyuarat pertama Kabinet yang baharu hari ini.

Perdana Menteri berkata, peranan SPAD akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.

Manakala dalam kes JKKKP pula ia terlalu berunsur politk sedangkan peranannya dapat dilaksanakan oleh pegawai kerajaan lain.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pemotongan gaji jemaah menteri  sebanyak 10 peratus.

Tindakan tersebut bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan terhadap masalah kewangan kerajaan.

“Jemaah menteri setuju supaya gaji menteri dipotong 10 peratus…(Potongan) ini berdasarkan gaji asas,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, sesetengah pegawai kerajaan kini mendapat gaji lebih tinggi daripada menteri kabinet. – 23 Mei 2018.