Abdul Azeez letak jawatan Pengerusi Tabung Haji

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dilaporkan telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Tabung Haji.

The Star Online melaporkan, Ahli Parlimen Baling itu telah menghantar surat peletakan jawatannya pada 14 Mei lalu.

“Saya dilantik oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri, jadi peletakan jawatan saya juga pada menteri yang bertanggungjawab.

“Setakat yang saya tahu saya telah letak jawatan.

“Ia bagaimanapun masih kira tidak rasmi kerana menteri masih belum dilantik,” katanya dipetik sebagai berkata.

Lembaga Tabung Haji sebelum ini berada di bawah portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal agama Islam).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menyerbu hartanah dikaitkan dengan Abdul Azeez di Subang Jaya, Selangor dan Kedah.

Menurut sumber, dalam serbuan di Baling Kedah, SPRM merampas lebih kurang RM100,000, manakala RM400,000 di Subang, Selangor.

Abdul Azeez memberitahu wang tunai RM500,000 yang dirampas SPRM adalah untuk digunakan bagi misi ke Gaza, Palestin selain peruntukan bagi perbelanjaan UMNO Bahagian Baling.

“Wang berkenaan adalah untuk perbelanjaan ke Gaza, Palestin yang dirancang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

“Wang yang dirampas di Baling pula adalah milik UMNO Bahagian Baling dan ia sepatutnya diberikan kepada rakyat sempena bulan puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi,” kata Abdul Azeez kepada Bernama.

Menurut Abdul Azeez, selain wang tunai, SPRM turut merampas jam serta pelbagai mata wang asing.

“Anggota SPRM bekerja secara profesional dan saya akan beri kerjasama penuh kepada SPRM yang menjalankan siasatan,” katanya. – 24 Mei 2018.

 

%d bloggers like this: