Kelantan kekal tuntutan royalti lima peratus

Gambar Bernama

Kerajaan PAS Kelantan kekal dengan tuntutan royalti minyak sebanyak lima peratus sebagaimana perjanjian yang ditandatangan dengan Petronas pada 1975.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihak kerajaan negeri akan berbincang perkara itu dengan kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat.

“Kami sedang menunggu waktu yang sesuai untuk melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kita akan sebut perkara ini (tuntutan royalti) dalam pertemuan dengan perdana menteri (nanti),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri yang pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Kompleks Kota Darul Naim semalam.

Di dalam manifesto PRU14 Pakatan Harapan (PH) menjanji 20 peratus royalti minyak.

Ahmad berkata, kerajaan Persekutuan pimpinan PH “berjiwa besar” jika mahu memberi 20 peratus (royalti) sebagaimana janji manifestonya itu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerajaan PAS Kelantan bersedia meningkatkan hubungan dengan kerajaan Persekutuan yang diterajui PH ke arah yang lebih baik. – 24 Mei 2018.