MB: Raja Perlis Murka, Shahidan pecat Azlan Man

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka dengan tindakan sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada majlis istiadat dan angkat sumpah menteri besar Perlis, hari ini.

Baginda kecewa dengan perkembangan tersebut kerana semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit berada di Perlis ketika jemputan dihantar kepada mereka dua hari lalu.

“Ini adalah kepentingan sesetengah puak, segan untuk saya sebut nama tetapi tuan-tuan pun tahu siapa.

“Hari ini sebilangan besar mereka tidak hadir.. sebab apa (tidak hadir) saya pun tidak tahu, sedangkan jemputan dibuat dua hari lalu dan mereka masih berada di Perlis ketika itu.

“Sekarang mereka berada di Kuala Lumpur, semalam mereka pergi menaiki kapal terbang… ini berdasarkan laporan yang saya terima,” titah baginda pada majlis istiadat dan angkat sumpah Menteri Besar di Istana Arau, hari ini.

ADUN BN Perlis hari ini memulau majlis angkat sumpah Menteri Besar Azlan Man, di Istana Arau.

BN Perlis mempunyai 10 daripada 15 wakil dalam Dewan Undangan Negeri.

Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam sidang akhbarnya di Kuala Lumpur berkata, Azlan dilantik tanpa surat perlantikan dari BN dan tindakan melantik seseorang yang tidak dapat sokongan majoriti sebagai menteri besar adalah tidak beretika dalam perlembagaan.

Katanya, Azlan sepatutnya tidak terima pelantikan itu kerana tidak mendapat sokongan majoriti.

Malah, selaku Pengerusi UMNO Perlis, beliau mengumumkan pemecatan keanggotaan Azlan dan  sedang menunggu pengesahan pemecatan daripada UMNO Pusat.

“Kita memecat Azlan Man berkuatkuasa hari ini.

“Selepas ini pusat yang kena maklumkan dan keluarkan surat.

“Sekarang dia jadi menteri besar bebas,” katanya.

Sidang akhbar itu turut dihadiri oleh sembilan ADUN BN Perlis yang gagal hadir pada majlis mengangkat sumpah jawatan itu pagi ini.

Majlis mengangkat sumpah jawatan menteri besar pagi tadi dihadiri oleh tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) dan dua ADUN PAS hadir.

Dalam pada itu beliau memohon Raja Perlis supaya tidak campur tangan pentadbiran negeri.

Beliau meminta, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya campur tangan dalam pelantikan menteri besar itu. – 24 Mei 2018.