Minta kerajaan Timbang Semula tamat perkhidmatan guru al-Quran

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed  meminta Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan semula penamatan perkhidmatan 3,075 penggerak masyarakat di negeri itu.

Katanya, kumpulan tersebut merupakan guru-guru mengajar al-Quran di kampung-kampung yang diwujudkan sejak 20 tahun lalu bagi memperkasakan agenda dakwah di Kelantan.

“Ia, khususnya bagi memantapkan pengajian al-Quran dalam kalangan masyarakat.

“(Mereka ini) nama sahaja penggerak masyarakat, tetapi tugas sebenar mereka ialah mengajar mengaji di kampung-kampung.

“Elaun pun hanya RM400 sebulan, ia di bawah paras kemiskinan,” katanya selepas Majlis Ihya Ramadan di Pejabat UMNO negeri di Kotra Bharu malam tadi.

Mustapa berkata, golongan terbabit terpaksa memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) demi kelangsungan hidup mereka setelah perkhidmatannya ditamatkan.

Sehubungan itu, beliau memohon kerajaan PH agar menarik balik keputusan menamatkan perkhidmatan tersebut.

Akhbar sebelum ini melaporkan kira-kira 3,000 kakitangan lantikan politik Barisan Nasional (BN) menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan ditamatkan perkhidmatan berkuat-kuasa 15 Mei lalu. – 24 Mei 2018.