Boikot tidak selesai masalah, pemimpin UMNO harus berjiwa besar

Tindakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besar Perlis tidak akan menyelesaikan masalah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum Pakatan Harapan itu berkata, cara terbaik menyelesaikan isu tersebut adalah melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pada pandangan saya, cara terbaik menyelesaikan perkara ini ialah melalui undi di Dewan Undangan Negeri. Boikot bukan cara terbaik, ia harus dielakkan,” katanya.

Anwar diminta mengulas kemelut di Perlis selepas majoriti wakil rakyat BN membantah Datuk Seri Azlan Man menjadi menteri besar bagi penggal ini.

BN Perlis memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN tetapi gagal memilih menteri besar yang disokong semua pihak.

Sembilan Adun BN memboikot majlis angkat sumpah Azlan sebagai menteri besar sekali gus mengundang kemurkaan Raja Perlis.

Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, memecat keahlian UMNO Azlan berkuat kuasa serta merta.

Malah, beliau mengkritik Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mencampuri urusan pentadbiran negeri.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempertikaikan cubaan (memecat keahlian UMNO Azlan) sebagai tidak wajar.

Hishammuddin yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO memberitahu, sebarang keputusan pemecatan anggota parti di bawah kuasa Majlis Tertinggi, bukannya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Mengenai pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar beliau berkata, ia harus dihormati dan Tuanku Syed Sirajuddin sudah semestinya telah mengambil pertimbangan sewajarnya untuk rakyat negeri itu.

“Pemimpin UMNO harus berjiwa besar dan menampilkan kepimpinan yang terbaik.

“Dalam keadaan UMNO yang masih dalam proses pemulihan, rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan kita. Rakyat telah berikan mandat kepada BN untuk memimpin di Perlis dan kepercayaan ini harus dilaksanakan dengan penuh amanah,” katanya. – 26 Mei 2018.