Polis buru Jamal

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos diburu selepas dipercayai menghilangkan diri semasa prosiding mahkamah.

Jamal ditahan reman di wad premium Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, pagi semalam didakwa atas tiga pertuduhan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata, pemimpin ‘gerakan baju merah’ itu hilang semasa proses ikat jamin.

Kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam, Rahasbiah Abd. Rahman pada pukul 5.30 petang, ketika beliau tiba untuk menjamin tertuduh.

Fadzil berkata, ikat jamin telah ditetapkan RM3,000 untuk setiap pertuduhan.

“Bagaimanapun, sebelum proses ikat jamin selesai dia (Jamal) didapati hilang,” katanya.

Susulan itu polis telah melancarkan Ops Tutup bagi mengesan Jamal.

Jamal,48, ditahan ketika menerima rawatan sakit belakang di hospital berkenaan.

Penahanan itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 selepas terdapat laporan terhadapnya yang dikatakan sengaja mempamerkan senjata apinya.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda RM400 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jun depan sebagai sebutan kes di Mahkamah Majistret Shah Alam. – 26 Mei 2018.