Jamal masih tidak dapat dikesan

Ketua UMNO bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md. Yunos dikatakan masih belum muncul selepas hilang dari Hospital Ampang Puteri ketika masih dalam prosiding mahkamah kelmarin.

Sehingga pukul 10 malam tadi pihak polis masih gagal mengesan Jamal dan ia menyukarkan proses jaminan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, polis sedang giat mengesan pemimpin kumpulan baju merah itu untuk menyelesaikan proses tersebut.

“Setakat ini (10 malam), kami belum dapat mengesan kedudukan beliau (Jamal). Kita berharap dia tampil dan bekerjasama untuk menyelesaikan proses jaminan mahkamah ini,” katanya.

Jamal dilaporkan hilang dari hospital petang Jumaat ketika pihak polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi jaminan mahkamah.

Jamal disiasat berhubung kes memecahkan botol arak di hadapan pagar pintu masuk bangunan pentadbiran kerajaan negeri Selangor Oktober tahun lepas.

Peguamnya, Mohd. Imran Thamrin berkata, kehilangan anak guamnya dari wad hospital itu tidak disengajakan dan mungkin disebabkan ‘silap komunikasi’.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa Jamal hadir di balai polis dan membantu menyempurnakan proses ikat jamin. – 27 Mei 2018.