Najib hairan, sindir ‘ekonomi pulih’ dalam dua minggu

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hairan perkembangan ekonomi negara yang sebelum ini dikatakan berada dalam krisis tiba-tiba didakwa pulih dalam tempoh yang singkat.

“Saya hairan betapa cepatnya ekonomi negara bertukar dari kononnya dalam keadaan krisis dan gagal sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kepada keadaan ekonomi yang kuat dan kukuh.

“Cuma dua minggu lebih sahaja? (diambil oleh kerajaan untuk pulihkan ekonomi),” katanya sinis melalui Twitter.

Sebelum PRU14, pemimpin Pakatan Harapan sering mendakwa ekonomi negara dalam keadaan tenat dan sedang menuju bankrap.

Kelmarin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilaporkan berkata, Malaysia masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh.

“Kita perlu ingat bahawa asas ekonomi Malaysia masih kuat dan kukuh,” kata Lim ketika mengulas berhubung keadaan semasa ekonomi negara. – 27 Mei 2018.