AKSB saman Husam

Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) mengambil tindakan saman terhadap bekas exco kerajaan Kelantan, Husam Musa berhubung dakwaan wujudnya penyelewengan dalam syarikat itu.

Menurut laporan sebuah portal berita online, Pengurus Besar AKSB, Ir Wan Mohd. Zamri Wan Ismail mengesahkan perkara itu dan kini sedang menanti tarikh sebutan kes di mahkamah.

“Kita sudah mulakan tindakan melalui peguam dan notis saman juga kita berikan kepada Husam.

“Ia berhubung dakwaan dalam pendedahan beliau sebelum ini (isu kelulusan projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa 11, Pakej 1),” katanya ketika dihubungi portal berkenaan.

Pada 5 Mac lalu Husam menggesa penjelasan kerajaan negeri berhubung pemberian tender projek bernilai RM27.1 juta itu.

Menurutnya, surat tawaran tender projek diberikan kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV pada 22 Januari 2015 sedangkan ketika itu syarikat berkenaan masih belum didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Cdah Construction Jangka Prestasi JV hanya didaftarkan pada 9 Mac 2015.

“Tarikh pelantikan pada 22 Januari 2015 itu bermakna, dua bulan kemudian baru syarikat ini ditubuhkan.

“Jelas di sini surat tawaran dianugerahkan kepada entiti yang belum diwujudkan dan hingga hari ini kerja pembinaan masih berjalan,” kata Husam.

Dakwaan Husam itu bagaimanapun dinafikan Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB, Datuk Hanifa Ahmad.

Hanifa berkata, melantik Cdah Construction Sdn. Bhd. dan Jangka Prestasi Sdn. Bhd. yang terlibat dalam usaha sama (JV) selepas syarikat itu lulus kesemua peringkat penilaian jawatankuasa tender.

 

Sementara itu, Pemuda PAN negeri membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Husam itu.

Pengarah Mobilisasi Pemuda PAN Kelantan, Mohd. Afiq Ayob berkata, pihaknya meminta SPRM menyiasat tender projek tersebut yang didakwa tidak mengikut prosedur yang betul.

Katanya, tender projek yang dinamakan sebagai projek merekabentuk, membina, menyiapkan, mengujilari, mentauliahkan kerja-kerja mekanikal serta kerja-kerja berkaitan (reka dan bina) untuk skim Bekalan Air Merbau chondong Fasa II ( Pakej 1 ), Jajahan Machang, dianugerahkan kepada syarikat yang belum wujud, tidak berdaftar dan tidak menyertai tender.

“Lembaga Tender AKSB memutuskan untuk memberikan tender kepada syarikat yang tersebut pada 22 Januari 2015 sedangkan syarikat tersebut diperbadankan pada 9 Mac 2015,” katanya.

Kata Mohd. Afiq, beliau khuatir wujudnya unsur-unsur penyelewengan dalam penganugerahan tender tersebut. – 28 Mei 2018.