Harga barang terkawal

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan akan memastikan tiada kenaikan harga barang selepas cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikenakan pada kadar sifar mulai 1 Jun ini.

Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Firdus Zakaria berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di 50 premis perniagaan yang berdaftar di bawah GST di negeri itu khususnya sektor peruncitan untuk membuat dokumentasi harga.

Beliau berkata, maklumat harga tersebut akan digunakan semasa pemantauan pada 1 Jun bagi menentukan sama ada peniaga sudah menurunkan harga sebanyak enam peratus atau tidak.

“Proses peralihan ini mungkin mengambil masa kerana peniaga terpaksa membuat harga baharu selain membabitkan barangan stok lama.

“Amaran akan dikeluarkan kepada peniaga yang tidak menurunkan harga dan kami akan mengambil tindakan sekiranya barangan stok baharu dijual pada harga lama.

“Pengguna yang membeli barangan dikenakan GST tetapi kekal dijual pada harga lama boleh membuat aduan dan kami akan buat siasatan dan pastikan peniaga membayar balik kepada mereka,” katanya selepas melakukan pemantauan harga barangan di Pasar Siti Khadijah.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bekalan barangan keperluan terutama barang basah menjelang musim perayaan mencukupi dan harganya masih terkawal.

Beliau berkata, jaringan kerjasama dengan pengimport, pengeluar, pembekal, pemborong serta persatuan perniagaan turut ditingkatkan dan pihak industri memberi jaminan bekalan barangan keperluan adalah mencukupi.

“Setakat ini bekalan barang yang mendapat permintaan tinggi seperti ayam, telur dan daging adalah mencukupi serta mudah diperoleh oleh pengguna.

“Pemantauan kita di seluruh daerah juga mendapati harga barang kekal sama seperti sebelum bulan Ramadan dan tidak dinaikkan oleh peniaga sewenang-wenangnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemantauan harga dan bekalan barangan akan diteruskan bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan untuk mencatut atau mengambil keuntungan berlebihan di musim perayaan. – 28 Mei 2018.