Husam antara tiga nama dicadang sebagai menteri

Bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa antara tiga tokoh politik Kelantan dicadang untuk diangkat sebagai menteri atau timbalan menteri dalam kabinet Malaysia yang diterajui kerajaan Pakatan Harapan.

Selain Husam, dua nama lagi ialah Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan, Datuk Sazmi Miah dan Pengerusi PKR Kelantan, Ab. Aziz Ab. Kadir.

Ketua pemuda PPBM negeri, Asran Alias berkata, cadangan itu akan dikemukan kepada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam masa terdekat.

Beliau berharap, perlantikan menteri kabinet dapat disegerakan sebelum menjelang hari raya Aidilfitri pada pertengahan bulan depan.

“Kami menegaskan perlantikan kabinet penuh perlu dibuat dengan kadar segera susulan terdapat beberapa kementerian yang belum diumumkan lagi menterinya khususnya menjelang hari perayaan.

“Keadaan ini antaranya memberi kesan seperti peniaga yang mengambil kesempatan menaikan harga barang termasuk barang kawalan akibat kelewatan perlantikan menteri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pemuda PPBM Kelantan di Kota Bharu.

Kabinet kerajaan baharu setakat ini hanya baru melantik 10 menteri antaranya Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Hal ehwal Ekonomi, Menteri Pendidikan dan menteri Komunikasi dan Multimedia.

Pakatan Harapan memenangi majoriti parlimen untuk mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

Dr. Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Asran yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Kelantan berkata, pengalaman tiga tokoh politik berkenaan dapat membantu kelancaran pentadbiran Dr. Mahathir pada masa akan datang.

“Ketiga-tiga mereka mempunyai pengalaman tersendiri sama ada di peringkat nasional atau negeri dan kami berharap kita mempunyai wakil dari Kelantan untuk menjadi jemaah kabinet negara. – 28 Mei 2018.