Tiada kenaikan harga barang selepas GST sifar

Kerajaan memberi jaminan tidak akan ada kenaikkan harga barang sebaik sahaja cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikenakan pada kadar sifar berkuatkuasa 1 Jun depan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan akan membuat pemantauan melalui kementerian terlibat bagi memastikan beban rakyat berkurangan melalui pemansuhan GST.

“Dengan terhapusnya GST maka mereka (peniaga) tak lagi dibenarkan menaikkan harga barang dan saya percaya kementerian yang berkenaan akan pantau perkara ini.

“Kementerian terbabit dengan kerjasama pihak Kastam akan pastikan penguatkuasaan akan ditingkatkan supaya tidak akan ada pihak yang tidak bertanggungjawab ambil kesempatan.

“Tujuan utama Pakatan Harapan menghapuskan GST adalah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan perkara ini perlu dilaksanakan segera dalam tempoh 100 hari.

“Ia bukan (sekadar) pengumuman saja (tapi juga melibatkan) penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama penduduk Gombak, di Taman Melawati, malam tadi. – 28 Mei 2018.