1MDB: Najib kata tak wajar jawab soalan Guan Eng sekarang

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, beliau telah dinasihatkan agar tidak menjawab soalan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung 1MDB memandangkan ia masih dalam siasatan.

Najib berkata, adalah tidak wajar untuk beliau berbuat demikian (menjawab soalan Guan Eng) pada masa sekarang.

Dalam kenyataan ringkasnya semalam, Najib berkata, dalam konteks yang terhad ini, beliau tidak nampak apa-apa faedah untuk melibatkan diri dalam wacana umum dengan Lim mengenai isu tersebut.

“Saya akan – apabila dan jika perlu – membincangkan hal itu pada forum yang berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Guan Eng dilaporkan berkata, Najib selaku bekas menteri kewangan harus bertanggungjawab dan memikul tanggungjawab terhadap skandal 1MDB.

Beliau juga membangkitkan banyak soalan mengenai pelaburan bernilai AS$8.33 bilion (AS$1 = RM3.98) yang dibuat oleh 1MDB antara 2009 dan 2013.

Guan Eng juga meminta bekas perdana menteri itu menjelaskan berhubung beberapa transaksi yang telah dibuat. – 29 Mei 2018.