Mahfuz kata PAS boleh terus bermimpi

Kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang tidak kisah PAS tidak menang di pusat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana negara terlalu banyak berhutang menandakan lemahnya jiwa dan betapa kerdilnya semangat PAS menghadapi kemelut politik negara.

Bahkan dalam nada bersahaja beliau merasakan lebih baik Pakatan Harapan (PH) memerintah selama lima tahun untuk menyelesaikan hutang sebelum PAS mengambil alih kerajaan pusat dalam pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan beliau adalah jawapan mengapa PAS gagal menguasai negeri-negeri di Pantai Barat dan cuma mampu mentadbir Kelantan dan Terengganu.

Mungkin dari awal beliau dan pemimpin PAS sudah menghidu PH akan memenangi Putrajaya.

Lalu mereka mengambil langkah bersendirian, tidak mahu bergabung kerana takut kemenangan itu akan menyebabkan PAS menanggung bebanan hutang negara.

Saya amat hairan kenyataan seperti itu diungkapkan seorang naib presiden sebuah parti Islam yang dianggap paling lama di negara ini.

Tidakkah ini mencerminkan pemikiran pasif pemimpin PAS dan mereka hanya mahu mengambil kesempatan dalam politik negara daripada pihak lain, tanpa berusaha membantu menyelesai masalah negara yang kronik sekarang?

Dalam maksud lain, PAS sebenarnya tidak tahu bagaimana menyelesai masalah negara dan tidak mahu menjadi sebahagian daripada rakyat yang berusaha membangunkan negara selepas ia dirosakkan tangan-tangan pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Dalam keadaan rakyat banyak memberi input dan nasihat yang baik kepada kerajaan selepas PRU14, PAS pula mengambil sikap berlepas diri dan beretorik politik.

Jika itulah kenyataan dan mentaliti pemimpin PAS, maka tidak hairanlah parti itu tidak mampu melangkah jauh walaupun sudah berusia lebih 60 tahun.

PAS ketandusan pemimpin dan negarawan yang berjiwa besar serta memandang ke hadapan.

Sepatutnya Mohd. Amar memberi cadangan kepada kerajaan PH mengenai cara-cara mengembalikan negara di landasan sebenar, memulihkan ekonomi, membayar hutang, menghapuskan rasuah serta membebaskan semua agensi kerajaan yang ditekan selama ini.

Sikap pemimpin PAS yang masih berdelusi ini amat memalukan rakyat.

Jika Mohd. Amar masih berasakan PAS akan mendapat sokongan terbanyak, dan bakal memenangi Putrajaya lima tahun lagi dengan sokongan rakyat, silakan.

Beliau boleh terus bermimpi di siang hari.

Kepada rakyat, ayuh kita bekerja bersama-sama bagi membina semula negara, tinggalkan mereka yang hanya mahu bersenang-lenang dan hanya tahu mengambil kesempatan atas usaha kita bersama selama ini.

Nanti kita akan kenal siapa yang benar-benar ikhlas bekerja untuk negara, dan siapa pula yang hanya mahu mengejar jawatan dan kedudukan untuk kepentingan diri.

Datuk Mahfuz Omar

*Mahfuz ialah Naib Presiden PAN merangkap anggota parlimen Pokok Sena.

*Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Sokmo.Net