Bukan semua pengawal keselamatan Najib ditarik

Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu khidmat pegawai keselamatan dan pengiring Datuk Seri Najib Tun Razak ditarik balik kerana bekas Perdana Menteri itu dalam siasatan pihak berkuasa.

“Jadi dia tidak mewakili Perdana Menteri yang lalu.

“Tetapi jika dia didapati tidak bersalah, maka dia akan mendapat layanan yang sama seperti (bekas) Perdana Menteri yang lain,” katanya selepas majlis berbuka puasa dengan anggota polis di Bukit Aman malam tadi.

Dalam kenyataan di laman Facebook Najib memberitahu khidmat pegawai dan pengiring keselamatannya telah ditarik balik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, khidmat pengawal peribadi Najib ditarik balik selaras dengan statusnya sebagai bekas Perdana Menteri.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, bukan semua pengawal Najib telah ditarik balik.

Katanya, sebagai bekas Perdana Menteri, Najib masih layak mendapat faedah keselamatan tertentu.

“Tidak, tidak semuanya ditarik balik. Kita akan maintain mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan. Bekas PM ada kelayakan tertentu, kita akan akurlah.

“ADC (Aide De Camp) kita kekalkan, ADC untuk Datin Seri (Rosmah Mansor), beberapa pegawai peribadi. pemandu kita akan kekal.

“Tetapi kita ‘scale down’ lah, bukan seperti mana sebelum itu,” katanya. – 30 Mei 2018.