Hormat terakhir Najib kepada pengawal keselamatan

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membalas tabik hormat terakhir sebagai salam perpisahan kepada kumpulan pengawal pengiringnya selepas khidmat mereka ditarik balik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Najib, sejak beberapa minggu ini kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepadanya sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC (Aide De Camp).

“Hari ini, saya membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas, polis pengiring dan pegawai, yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada saya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana.

“Tak dapat dinafikan, mereka berselubung emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika kami berlafaz kata perpisahan.

“Saya dan keluarga tidak akan lupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang 9 tahun ini – termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami selama 14 tahun semasa saya masih Timbalan Perdana Menteri.

“Sehingga kita bertemu lagi, saya ucapkan kepada mereka selamat maju jaya dan berharap mereka akan terus berkhidmat kepada kerajaan baharu dengan dedikasi dan kesetiaan yang sama ketika bersama saya,” kata Najib menerusi kenyataan di Facebook beliau.

Beliau turut memohon, kerajaan baharu supaya sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan.

Najib turut berkongsi gambar yang penuh emosi di laman Facebooknya itu. – 30 Mei 2018.