Hindraf ada agenda tersembunyi kata MTRK

Tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) bagi membolehkan kaum lain memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak rasional, kata Azmi Ali

Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) itu berkata, ia kerana, peluang masyarakat bukan Melayu untuk memasuki mana-mana universiti tempatan terbuka luas.

Beliau turut memungkinkan terdapat agenda tersembunyi di sebalik tuntutan itu.

“Kita ada puluhan universiti awam dalam negara, itu belum lagi universiti swasta, semua ini terbuka kepada semua bangsa termasuk orang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum tetapi kenapa UiTM yang sudah tertakluk dalam perlembagaan juga yang mereka mahu.

“Saya merasakan satu perkara yang tidak baik berkenaan hubungan kaum dan Hindraf jelas ada agenda tersirat,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan semalam.

Baru-baru ini, Ketua Umum Hindraf, P Uthayakumar, dilaporkan menuntut supaya UiTM yang diwujudkan khusus untuk Bumiputera dan Melayu dibuka untuk semua kaum terutama kaum India dari golongan B75.

Bagaimanapun pengerusinya, P Waythamoorthy menafikan membuat tuntutan tersebut.

Katanya, tuntutan tersebut dibuat bekas pemimpinnya, P Uthayakumar yang menggunakan nama Hindraf 2.0.

Waythamoorthy yang tidak mengiktiraf Hindraf 2.0 juga berkata, tindakan kumpulan itu mengelirukan masyarakat terhadap kegiatan Hindraf.

“Tidak ada organisasi dengan nama Hindraf 2.0. Pemimpinnya bernama P Uthayakumar itu adalah pemimpin Human Rights Party.

“Beliau tidak pernah menyertai apa-apa kegiatan Hindraf sejak 2008 kerana beliau ingin mengembangkan parti politiknya sendiri.

“Tindakannya ini menyebabkan kekeliruan, kemarahan dan kebencian di kalangan orang awam,” kata Waythamoorty dalam kenyataannya.

Waythamoorthy dan Uthayakumar merupakan adik beradik dan bergiat bersama dalam Hindraf sewaktu penubuhannya pada 2007.

Kedua-duanya berselisih faham dalam cara menangani masalah masyarakat India, terutama selepas Uthayakumar bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 2013.

Sehubungan itu, Azmi menyeru kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak melayan tuntutan yang jelas mencabar hak keistimewaan orang Melayu.

“Saya merayu Tun dan pemimpin kerajaan supaya tidak layan tuntutan ini, implikasi buruk seandainya tuntutan ini dipenuhi, ia seolah-olah mencabar kewibawaan orang Melayu,” katanya. – 31 Mei 2018.