Siaran langsung Piala Dunia: Rais minta Gobind jelaskan Peruntukan RM40 juta

Peruntukan RM40 juta untuk siaran perlawanan Piala Dunia 2018 secara langsung di RTM dipersoal kerana ia bercanggah dengan cadangan kerajaan yang mahu mengambil langkah berjimat cermat.

Pemimpin veteran UMNO Tan Sri Rais Yatim, menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menjelaskan daripada mana sumber dana itu diperoleh ketika kerajaan bercadang mengambil langkah tersebut.

“Ura-ura nak guna RM40 juta untuk pesta tayangan bola sepak di RTM mesti dirasionalkan oleh menteri.

“Adakah jumlah itu dari pengiklan atau huluran kerajaan? Kalau huluran dari kerajaan dasar berjimat cermat tak masuk akal. Pakat dengan Astro kongsi siaran. Selamatkan duit negara,” kata Rais menerusi Twitternya.

Gobind mengumumkan RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan Piala Dunia 2018, di mana 27 perlawanan akan disiarkan secara langsung sementara 14 perlawanan lain akan ditayangkan melalui siaran tertunda.

Menurutnya, kabinet memperuntukkan sehingga RM40 juta untuk membeli hak penyiaran perlawanan berprestij itu.

Gobind berkata, butiran mengenai bagaimana peruntukan dibelanjakan akan dijelaskan semasa taklimat khas mengenai kewangan negara.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang menyifatkan idea siaran secara langsung itu sebagai “luar biasa”.

Katanya, barangkali itulah sebabnya kerajaan perlu mewujudkan tabung bagi rakyat Malaysia memberikan sumbangan untuk meringankan hutang negara.

Dengan nada sinis beliau berkata “Saya ingin bertanya adakah tabung itu berkaitan dengan siaran Piala Dunia di RTM? Saya ingat kerajaan ingin jimatkan wang?”. – 31 Mei 2018.