SUK Kelantan nafi, bukan arahan istana tapi ‘pihak atasan’

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhamad menafikan kenyataan beliau berhubung perintah larangan ke atas Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa dan pengerusi PAN Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah daripada memasuki istana dan premis kerajaan negeri adalah arahan Istana.

Menurut Nazran, beliau hanya memaklumkan perkara tersebut kepada pihak media, menerima arahan itu daripada ‘pihak atasan’, bukan daripada istana.

“Tidak pernah keluar dari mulut saya bahawa arahan itu dari Istana dan saya juga beritahu wartawan bahawa saya tidak tahu sebab kedua-dua mereka dihalang.

“Akhbar yang membuat kesimpulan mereka sendiri,” katanya ketika ditemui NST di pejabatnya.

Sementara itu, Husam dilaporkan berkata, menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan tidak akan memberi sebarang komen mengenainya.

“Saya tidak akan mengulas lanjut mengenai isu ini. Ramadan adalah bulan suci bagi umat Islam, oleh itu, lebih baik bagi saya untuk tidak memberikan sebarang komen,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, Nazran mengesahkan kebenaran pekeliling yang dikeluarkan pada 27 Mei 2018 lalu berhubung larangan memasuki pejabat kerajaan dan istana terhadap Husam dan Wan Abdul Rahim.

“Saya sahkan memang surat itu dikeluarkan pada 27 Mei 2018, selepas mendapat arahan pihak istana.

“Sebabnya saya tidak tahu. Pihak istana tidak nyatakan sebab dan saya hanya bertindak ikut arahan,” katanya.

Surat yang ditandatangan Nazran itu viral di media sosial sekali gus menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Kandungan surat itu menyatakan Husam dan Wan Abd Rahim dilarang memasuki Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri, Kota Darulnaim dan semua pejabat kerajaan negeri.

Selain itu, kedua-dua mereka turut dilarang berada di enam istana iaitu Istana Negeri, Istana Balai Besar, Istana Telipot, Istana Kota Lama, Istana Tumpat dan Istana Persinggahan Gua Musang. – 31 Mei 2018.