Anak muda mahu Tok Pa tanding Presiden UMNO

Sekumpulan anak muda Kelantan tampil mendesak Anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed supaya bertanding jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan parti itu nanti.

Mereka mahu Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menawarkan diri untuk bertanding sama ada jawatan presiden atau timbalan presiden parti itu.

Menurut jurucakap kumpulan berkenaan, Muhammad Rudin Siru, desakan tersebut dibuat dengan mengambil kira UMNO perlu kembali kepada rakyat selepas parti itu tersungkur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

“UMNO perlu kembali kepada rakyat dan tidak diterajui oleh golongan elitis dan bangsawan,” katanya selepas menemui Mustapa di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu lewat petang semalam.

Hadir sama pada pertemuan tersebut ialah 50 anak muda yang mewakili kumpulan belia, mahasiswa dan akar umbi pemuda UMNO Kelantan.

Muhammad Rudin berkata, Mustapa merupakan tokoh politik yang berwibawa untuk membangkitkan kembali keyakinan dengan mengembalikan semula UMNO kepada rakyat.

“Daripada pengamatan kami, Tok Pa (Mustapa) sentiasa konsisten dalam setiap kerja yang dilakukan selain imejnya yang bersih, bebas daripada sebarang kontroversi politik.

“Selain kewibawaan dan kredibiliti dalam membantu pembangunan ekonomi negara sepanjang perkhidmatannya, umum maklum bahawa beliau juga merupakan tokoh politik yang sangat disegani oleh kawan dan lawan.

“Desakan ini sebenarnya turut mendapat reaksi positif dari golongan muda di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau turut menamakan beberapa tokoh politik lain yang dilihat berwibawa untuk bergandingan bersama Mustapa dalam usaha membangkitkan semula UMNO.

Antara nama tersebut ialah, Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan; Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Bekas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mengulas lanjut, Muhammad Rudin berkata, kumpulan terbabit yakin dengan kewibawaan nama-nama tersebut kerana sekarang bukan lagi zaman untuk mengamalkan sikap syok sendiri.

“Sekarang bukan zaman itu lagi. Sekarang adalah zaman untuk kita berpijak di alam nyata. Setakat boleh buat program himpum 100 hingga 200 orang bukan boleh menjamin kekuatan parti,” katanya. – 2 Jun 2018.