Bukan warlord, tapi rakyat akan nilai UMNO

Ketika tular berita gandingan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai pilihan paling wajar untuk menerajui UMNO pada pemilihan parti itu hujung bulan ini, ada pengkritik memperlekehkan kemampuan mereka berdua.

Pengkritik itu datang dari kalangan warlord UMNO yang selama ini pernah mengiktiraf mereka sebagai ketua khususnya di negeri masing-masing.

UMNO Negeri Sembilan kononnya tidak suka kepada Mohamad. Manakala Mustapa pula mana ada duit nak kempen. Ukur baju badan sendirilah. Kata warlord itu. Betapa angkuhnya mereka.

Persoalannya, siapa yang akan membawa kemenangan kepada UMNO? Adakah warlord ini atau rakyat? Perlukah kita pilih presiden dan timbalan presiden ikut selera warlord atau selera rakyat?

Adakah kalau Mustapa tidak ada duit untuk berkempen maka dia tidak layak? Duit itu untuk apa? Untuk sogok kepada perwakilan? Oh, inikah yang dikata UMNO boleh berubah? Diubah dengan duit? 

Kalau untuk isi minyak kereta, untuk bayar tol atau tiket kapal terbang pergi jumpa perwakilan, atau bayar homestay ketika bermalam di negeri perwakilan memerlukan duit, maka warlord itu tidak perlu risau. Mustapa tidak perlu duit. Perwakilan sendiri boleh sumbang duit untuk itu.

Perwakilan UMNO perlu memilih barisan pemimpin tertinggi yang disenangi rakyat. Bukan yang kaya raya. Apa guna ada pemimpin yang kaya kalau kekayaan itu yang membawa UMNO dibenci, dicaci dan dikeji. Kalau kekayaan itu yang membawa kepada kemusnahan UMNO.

Selama ini UMNO pernah ada presiden, timbalan presiden dan barisan kepimpinan yang kaya raya. Ada kapal layar, ada jet peribadi, ada mahligai besar, tetapi di mana UMNO?

Baru dua minggu hilang kuasa yang diamanahkan lebih 60 tahun, UMNO sudah tidak lagi mampu beri wang membantu UMNO negeri, bahagian-bahagian dan sayapnya.

Cukuplah menang sorak tetapi kampung tergadai.

Hari ini perwakilan UMNO perlu pilih pemimpin tertinggi yang disenangi dan dihargai oleh rakyat. Kerana yang akan menilai UMNO kelak adalah rakyat.

Kembalikan UMNO kepada rakyat! Ayuh kita terus mendesak Mustapa untuk menawarkan diri sebagai calon presiden. Rakyat yang akan menilai UMNO. Bukan warlord dalam UMNO!