Gabenor BNM: Nor Shamsiah bakal ganti Muhammad

Bekas timbalan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd. Yunus bakal dilantik sebagai Gabenor BNM baharu menggantikan Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Reuters melaporkan rundingan sedang diatur dengan Nor Shamsiah berhubung perkara tersebut.

Nor Shamsiah meninggalkan BNM pada 2016 iaitu tujuh bulan selepas gabenornya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berundur dari bank pusat berkenaan dan menyertai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Muhammad dikatakan akan meletakkan jawatan selepas menerima kritikan  Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin berhubung perjanjian jual beli tanah bernilai RM2 bilion untuk menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nor Shamsiah sebelum ini terbabit dalam pelan pengukuhan dasar sistem perbankan semasa Asia dilanda krisis kewangan.

Beliau juga pernah terbabit dalam penyediaan peraturan dan garis panduan bagi sektor kewangan. – 6 Jun 2018.