Kerajaan sepatutnya gugur jawatan Kadir Jasin

Seorang perunding politik bebas, Datuk Syed Azidi Syed Abdul Aziz membidas kaedah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Abdul Kadir Jasin mendedahkan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau tidak menafikan hak untuk menyuarakan pandangan tetapi wartawan veteran itu perlu lebih berhemah dan tertib dalam hal tersebut.

“Saya tidak tau sama ada pendedahan itu dengan niat menghasut rakyat mempersoal perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong. Saya berharap dia (Abdul Kadir) tidak berniat begitu,” katanya.

Abdul Kadir dalam catatan blognya mengatakan selama 16 bulan sehingga April tahun ini, sejumlah RM256.9 juta diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk penginapan, kediaman dan istana, barangan peribadi, pengangkutan dan kapal terbang, latihan dan kelengkapan pengiring, pakaian dan barangan majlis, hadiah cenderahati, lawatan luar negara dan gaji kakitangan istana.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sumber maklumat butiran perbelanjaan itu.

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan hanya memperuntukkan RM13.5 juta setahun kepada Agong.

Mengulas lanjut, Syed Azidi berpendapat adalah wajar kerajaan menggugurkan Abdul Kadir dari jawatannya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan bagi mengelak majlis itu serta Kerajaan Malaysia sendiri terpalit dengan tulisan Abdul Kadir.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membidas kenyataan Abdul Kadir dengan berkata, beliau perlu menunjukkan penghormatan dan ketertiban dalam hal ini.

Katanya, kritikan itu juga dibuat tanpa memberi peluang kepada Institusi Raja-raja Melayu untuk memberi respons.

“Sekiranya buat kritikan sebegini tanpa memberi peluang kepada Raja-Raja Melayu untuk jelaskan jawapan, ia tidak sihat terutamanya menggunakan kedudukan yang ada,” kata Anwar. – 7 Jun 2018.