Mat UMNO umum tanding Presiden UMNO

Seorang penulis blog mengumumkan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu.

Rahmat Azim Abdul Aziz, atau lebih dikenali sebagai @MatUmno di Twitter, dilaporkan telah menghantar borang pencalonannya kepada Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam.

“Saya rasa UMNO perlukan nafas baru untuk terus ke depan.

“Kegagalan pemimpin terdahulu perlu diambil kira untuk memastikan survival UMNO,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan akan bertanding bagi jawatan tertinggi itu.

Rahmat menjadi pencabar pertama buat Ahmad Zahid.

Rahmat berkata, beliau yakin UMNO mempunyai pemimpin muda yang mampu mengembalikan kekuatan parti itu selepas tersungkur dalam pilihan raya umum lalu.

“Saya menggesa mereka untuk berani ke depan dan bersama saya memimpin UMNO, yang akan lahir semula dengan kekuatan dan semangat baru,” katanya. – 7 Jun 2018.