Suara UMNO penuh angkuh

Suara UMNO penuh angkuh dan melihat rakyat sebagai bodoh. Itulah hakikat ketuanan Melayu UMNO yang telah membawa kepada kemusnahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Keangkuhan itu dilihat ketara selepas BN menang besar dalam PRU11 pada tahun 2004. Ia ditularkan menerusi teknologi informasi milenia. Kemudian apabila UMNO sendiri mendakap media sosial sebagai elemen taktikal penting mereka, pejuang siber mereka telah dengan jayanya mengeksport keangkuhan ini dan membantu membuat lebih ramai rakyat jemu, muak dan menyampah. Lantaran itu tumbanglah BN seperti yang kita saksikan pada pagi 10 Mei 2018.

Kejatuhan BN yang direncanakan oleh UMNO sebenarnya mengambil masa 14 tahun, iaitu selepas era pertama Tun Dr. Mahathir Mohamad. UMNO seperti kita tahu diterajui oleh ‘Mr. Clean’ Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi satu era yang melihat kerajaan dan kabinetnya dilamun mimpi enak menerusi tidur panjang di ranjang empuk. Siapa yang menganggu tidur itu akan dicemuh dan dikeji.

Akibatnya, pemimpin bernama Abdullah yang mengakui dirinya pantang dicabar telah dicabar rakyat. Masyarakat bukan bumiputera yang empat tahun sebelumnya telah memberi sokongan penuh kepada Abdullah, bersatu menerajui kebangkitan sosial menerusi pelbagai tuntutan. Mereka mendapat sokongan kelompok bumiputera urban dan sebahagian kelompok bumiputera intelektual. Manakala sebahagian lagi kelompok bumiputera intelektual yang kekal bersama UMNO mengambil kesempatan mengampu untuk kedudukan dan membodek untuk masa depan diri sendiri.

Datang PRU12, mitos bahawa BN tidak boleh ditumbangkan akhirnya lebur. Abdullah sebagai Pengerusi BN menyaksikan jatuhnya Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan majoriti kerusi-kerusi urban seluruh negara. Kelantan pula terus kekal dengan PAS. Tanda-tanda negeri Pantai Barat lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan akan menyusul juga sudah boleh disaksikan.

Era Abdullah menyaksikan kejatuhan empat negeri buat kali pertama melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Abdullah dikejutkan dari tidurnya dan satu pelan peralihan kuasa dihidangkan. Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk kepimpinan UMNO dan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam.

Kita tidak boleh lari dari merasa sedikit simpati terhadap Najib kerana mengambil alih kuasa dalam suasana yang amat malap bagi BN. Di luar sana warga bukan bumiputera telah bulat menolak BN. Selain UMNO, parti-parti komponen BN di Semenanjung sudah kehilangan sokongan teras mereka. Warga bukan bumiputera mula yakin bahawa era orde baru politik Malaysia sudah bermula dan BN boleh digulingkan secara demokratik.

Najib bersuara, UMNO perlu berubah atau rebah. Najib berusaha memenangi jiwa dan perasaan warga bukan bumiputera tetapi diserang oleh kelompok ekstrem kanan Melayu. Serba-serbi usaha Najib menjadi tidak kena. Setiap langkah ke hadapan oleh Najib seolah tergugat oleh warlords dalam UMNO menyebabkan beliau terpaksa berundur setapak dua ke belakang. Najib menempuh PRU13 dalam keadaan diluah mati mak, ditelan mati bapak.

PRU13 menyaksikan prestasi baik untuk UMNO tetapi jumlah kerusi BN terus merosot. PRU13 menyaksikan BN mengambil semula Kedah dan mempertahankan Perak yang kembali kepada BN selepas PRU12 menerusi aksi berpaling tadah ADUN PKR dan DAP namun sebaliknya hanya 48% pengundi memilih BN. Najib mengklasifikasikan kejadian ini sebagai Tsunami Pengundi Cina.

Pengundi Cina mungkin kecewa kerana BN tetap gagal digulingkan secara demokratik tetapi mereka terus boleh berlapang dada kerana keputusan PRU13 menyaksikan semakin robohnya kota BN di Melaka, Negeri Sembilan dan kini, Johor.

Bagaimana kepimpinan Najib memilih untuk berdepan dengan Tsunami Pengundi Cina ini?

Pertama, dengan membawa UMNO menjadi ‘lebih Islam’ dari PAS. Warlord UMNO sudah mula bersuara menekan PAS untuk mengetengahkan semula agenda hukum hudud. Kononnya secara politik ia adalah agenda untuk ‘check mate’ PAS dan secara Islamnya, ini ruang untuk UMNO mengukuhkan agenda Melayu.

UMNO seolah-olah tidak pernah mengambil kira agenda ini akan ‘backfire’ menyebabkan BN kehilangan sekelompok bumiputera yang memilihnya selama ini. Sebarang suara menuntut BN kembali ke asalnya di cop sebagai penyokong LGBT, murtad, kafir harbi dan lain-lain panggilan.

Pejuang siber UMNO menjadi cukup hebat dalam menyingkirkan sokongan kelompok moderate dari BN. Pasca 2013, UMNO bukan lagi angkuh, tetapi menjadi ‘super angkuh’. Menerusi jentera media sosial dan media massanya seolah bersedia untuk berperang dengan sesiapa sahaja tanpa mengambil peduli keupayaan mereka dan kemungkinan mereka terkepung dalam peperangan 360 darjah.

Lebih merisaukan, tiada siapa dalam barisan kepimpinan UMNO mampu atau mahu menegurnya. Rakyat yang tidak bersetuju dengan Kerajaan BN dianggap bodoh dan perlu disekolahkan habis-habisan.

Apabila datangnya isu 1MDB dan isu derma RM2.6 bilion, kelompok Melayu moderate ini seolah beroleh semangat baharu untuk kembali menilai kewibawaan BN. Ini adalah peluang untuk memulihkan keyakinan mereka.

Tiba-tiba satu demi satu nama jatuh seperti domino bermula dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Gani Patail dan lain-lain. Rakyat tergamam. Inikah Ketuanan Melayu? Mana suara pejuang-pejuang agama, bangsa dan tanah air dalam UMNO?

Rupa-rupanya, pada hari itu, bukan sahaja Bilik Bukti di Bukit Aman yang terbakar hangus, tetapi jika ada secebis keyakinan kelompok moderate bumiputera terhadap BN, ia juga telah hangus.

Namun, detik dan saat itu BN masih boleh mempertahankan kuasanya kerana terdapat kelompok pengundi BN yang sudah berkerat rotan untuk tidak lagi mengundinya tetapi tidak yakin untuk mengundi pakatan pembangkang. Kaum Melayu dalam kelompok ini tidak rela kerana adanya DAP dalam pakatan itu. Ada juga tidak sudi kerana mereka tidak boleh menerima PKR yang perjuangannya hanya mahu menaikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Maka apabila Dr. Mahathir diangkat menerajui Pakatan Harapan dan kemudiannya dinamakan sebagai calon tunggal pembangkang untuk jawatan PM, halangan sudah tiada untuk kelompok moderate bumiputera ini memberi sokongan membolehkan BN diketepikan dari tampuk kuasa.

Kelompok ini mungkin kecil, tetapi merekalah sebenarnya yang merebahkan BN. Semakin lambat Najib membubarkan Parlimen, semakin memberi kelebihan kepada lawan BN. Semakin Mahathir diserang dan dilanyak, semakin ramai yang bersimpati dengannya. Semakin ramai anak muda mendaftar untuk mengundi, semakin bertambah sokongan kepada lelaki berusia 92 tahun ini.

UMNO masih lagi hanyut ketika era pentadbiran Najib yang menyebabkan kejatuhan paling teruk parti Melayu itu.

UMNO pula terus dilambung keegoan melampau. Mereka masih melihat diri mereka sebagai pejuang agama, bangsa dan tanahair sedangkan ketika itu UMNO hanyalah ‘afterthought’ bagi minoriti rakyat Malaysia.

Akhirnya, hanya nyawa Dr. Mahathir yang menentukan nasib BN dan ketika beliau terus bernafas serta gagah pada usia hampir satu abad itu, matilah BN.

Maka pada dinihari 10 Mei 2018, UMNO dikejutkan dengan kematian empayar pemerintahan BN. Kuburnya tidak disirami air mawar dan ditaburi bunga-bungaan kerana ada yang belum menerima hakikat tersebut. Lantaran usaha dijalankan untuk menghidupkan semula sebuah kerajaan alternatif dengan membelakangkan aspirasi rakyat Malaysia.

Ini tidak pelik kerana itulah UMNO yang membelakangkan aspirasi rakyat dengan bersembunyi di sebalik kalimah agama, bangsa dan tanahair.

Sebulan berlalu, UMNO mungkin sudah bangkit semula kerana suara-suara ‘super angkuh’ sudah kembali mengisi ruangan media sosial dan media massa. Hanya satu yang mungkin betul sejak sebulan ini, iaitu apabila Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat kunjungan memohon pandangan dan nasihat dari Dr. Mahathir.

Boleh kita bayangkan, senyum penuh menyindir dari Dr. Mahathir sepanjang pertemuan itu. Sudah pasti bagi Dr. Mahathir, UMNO yang dipimpin Zahid tidak perlu dipulihkan kerana UMNO sebenar ialah sebuah parti yang mempunyai 13 kerusi di Parlimen dan bukan yang memenangi 54 kerusi itu.

*Datuk Syed Azidi Syed Abdul Aziz ialah perunding politik bebas.

*Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net.