Tiada lagi jemaah haji 1MDB

Kerajaan tidak akan menghantar lagi jemaah haji melalui “program amal” yayasan 1MDB yang disifatkan sebagai “wang curi” oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Ramai orang tidak akan dapat melaksanakan haji kali ini kerana kerajaan tidak akan membayar haji mereka dengan wang yang dicuri.

“Jika anda mahu, kita boleh mencuri dan bayar, tetapi kita tidak percaya pada cara mencuri wang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam di Tokyo, Jepun dengan warga Malaysia.

Program tersebut diilhamkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2011.

Pada tahun ini ia masuk tahun kelapan dan telah menghantar lebih 5,711 golongan agamawan dan pemimpin akar umbi menunaikan haji.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib tewas kepada Pakatan Harpan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

Kerajaan BN memerintah selama lebih 60 tahun dan kekalahan itu menjadi sejarah hitam buat mereka (BN).

Najib dan rakan-rakannya dituduh memperalatkan 1MDB untuk menyalahgunakan dana daripada syarikat milik negara itu.

Mahathir berkata, kerajaan PH terpaksa memulihkan negara dan menangani hutang besarnya RM1 trilion. – 11 Jun 2018.