Kelab Pesara Kerajaan Buang perkataan UMNO

Kelab UMNO Pesara Kerajaan Malaysia mengeluarkan perkataan UMNO pada nama kelab tersebut dan ‘menjenamakan’ semula dengan nama baharu iaitu Kelab Pesara Kanan Kerajaan Malaysia.

Tindakan itu selari dengan prinsip kelab bagi memberi sokongan kepada kerajaan semasa.

Menurut anggota jawatankuasa kelab berkenaan, Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah, mesyuarat agung kelab yang berlangsung semalam memutuskan perkataan UMNO dan semua perkataan UMNO dalam perlembagaan (kelab) dibuang dan menyokong kerajaan semasa tanpa berbelah bahagi.

“Ia selari dengan prinsip memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada. Maksudnya, kelab ini menyokong kerajaan pada masa ini, Pakatan Harapan.

“Dulu BN (Barisan Nasional) dan kini kita beri sokongan pada kerajaan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Full stop,” katanya kepada Malaysiakini.

Ibrahim mengulas pengesahan surat daripada kelab berkenaan kepada pesara kerajaan agar menyokong calon BN pada pilihan raya umum ke-14.

Ditanya mengenai kesahihan surat itu, Ibrahim tidak menafikannya dan memberitahu ia dibuat atas dasar memberi sokongan pada kerajaan ketika itu iaitu BN.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, mana-mana pekerja sama ada masih bekerja dalam sektor kerajaan atau tidak mengamalkan konsep menyokong kerajaan sedia ada.

“Ia termasuk pihak tentera, polis dan pegawai tadbir diplomatik (PTD),” katanya.

Justeru, Ibrahim berpendapat apa yang dilakukan kelab berkenaan adalah wajar.

“Kalau tidak, semua askar, semua polis, PTD akan kena marahlah sebab mereka dulu semua menyokong kerajaan sedia ada.

“Jadi bila kerajaan Tun Mahathir diwujudkan, semua pegawai kerajaan, polis, tentera, PTD ke akan menyokong kerajaan Tun Mahathir. Baru negara kita akan bergerak ke hadapan,” katanya seperti mana dilaporkan.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, Ibrahim yang juga seorang senator berkata, Malaysia akan ‘hancur’ dalam tempoh dua tahun sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara. – 13 Jun 2018.