Tiada kontrak penjawat awam ditamatkan jika BN menang

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Tiada kontrak penjawat awam akan ditamatkan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Malangnya, kita tidak menang. Mereka yang mengundi Pakatan Harapan mungkin membuat keputusan selepas dipengaruhi oleh kempen kebencian.

“Mereka tidak melihat perkara yang baik Barisan telah lakukan, kini mereka hanya menyesal,” katanya pada majlis berbuka puasa di Masjid Kampung Padang Polo, Pekan malam tadi.

Najib memberitahu, baru-baru ini beliau terbaca tulisan seorang bekas guru Kelas Agama Fardhu Ain (Kafa) yang menyesal mengundi Pakatan.

“Dia tidak pernah memikirkan kedudukannya yang selalu dipertahankan oleh kerajaan Barisan. Hanya beberapa hari selepas Pakatan mula berkuasa, kontraknya ditamatkan.

“Apabila dia melihat wajah dua anaknya, dia hanya menangis,” kata Najib. – 13 Jun 2018.