UMNO hormati keputusan parti komponen Sarawak

UMNO menghormati keputusan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak yang bertindak meninggalkan gabungan parti itu.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya percaya keputusan itu telah difikirkan secara mendalam oleh pimpinan terbabit dengan mengambil kira senario politik semasa.

Kata Annuar, beliau telah berhubung dengan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini berada di Mekah bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Saya diarahkan oleh pengerusi BN supaya mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini.

“Kita percaya mereka (komponen di Sarawak) telah fikirkan secara mendalam dan sudah tentu kepentingan rakyat Sarawak dan negeri telah diambil kira,” katanya kepada media ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di Kota Bharu Kelantan.

Terdahulu, empat parti utama komponen Sarawak dilaporkan keluar daripada gabungan BN iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresi (PDP).

Semua parti berkenaan kini membentuk pakatan baharu yang dikenali sebagai Gagasan Parti Sarawak (GPS).

Langkah itu bermula dengan kenyataan Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 16 Mei lalu bahawa parti itu akan mengkaji semula kedudukan dalam BN, sehinggalah kepada pertemuannya dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad minggu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Annuar berkata, pembentukan GPS mungkin dibuat bagi memudahkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan.

“Itu mungkin sebagai salah satu cara untuk memudahkan urusan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan,” katanya. – 13 Jun 2018.